fb fb fb fb fb

Ahmad Said menyangka panggilan yang diterima adalah palsu

Ahmad Said Md Piah, bapa kepada Konstabel Muhammad Shafiq yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram

KUANTAN, 17 Mei- "Pada mulanya tidak percaya panggilan yang saya diterima, mengatakan anak saya dah meninggal dunia".

Demikian ujar Ahmad Said Md Piah, bapa kepada Konstabel Muhammad Shafiq, merupakan anggota polis terbunuh dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, kira-kira pukul 2.54 pagi tadi.

Ahmad Said berkata terkejut dengan berita tersebut dan menyangka ia merupakan panggilan palsu.

Bagaimanapun, beliau mempercayai berita tersebut setelah dimaklumkan oleh anak sulungnya yang juga seorang anggota polis yang bertugas di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kali terakhir anaknya itu pulang ke Kuantan ialah pada Februari lalu.

Anak ketujuh daripada lapan adik- beradik itu kerap menghubunginya dan isteri menerusi panggilan video, sekiranya tidak dapat pulang ke kampung.

"Dia selalu telefon mak dia, selalu sebelum dekat nak habis raya, dia telefon mak dia, dia  cakap mak nak makan apa, dia nak belanjalah time hari jadi mak dia bulan 4, telefon mak nak makan apa, dia belanja la makan, belanja pizza semua, itu lah kali terakhir telefon. Saya redha, dah ampai masa, dah sampai masa dia, kita pun tak tahu sampai masa dia, kita redha la, sampai umur dah Allah jemput dia", kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Mahkota Jaya, di Kuantan, Pahang.

Allahyarham Muhammad Shafiq merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan mula dipindahkan untuk berkhidmat di Balai Polis Ulu Tiram, bermula Jun tahun lalu selepas tamat menjalani latihan di Dungun, Terengganu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, selepas solat zohor.

ROSLINA BINTI DIN