MARAN, 14 Mei- Seorang ahli perniagaan dari Chenor, dekat Maran, menjadi mangsa penipuan suspek yang menyamar sebagai pegawai CIDB Pahang.
Muhammad Fazrol Md Nasir, 34 tahun mendakwa dia menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 30 April lalu, menawarkan projek berkaitan kursus untuk kontraktor.
Jelasnya, suspek memperkenalkan diri sebagai Intan Liana Sarkawi dan bertugas di Unit Bahagian Lesen Kontraktor Bermasalah, CIDB Pahang.
"Sebelum itu saya tnya dia, daripada agensi mana..dia kemudiannya mengaku sebagai kakitangan CIDB Pahang, saya pun berasa yakin dengan cara berinteraksi melalui WhatsApp dan kemudian saya ada membuat lapan kali transaksi,"katanya.
Suspek menawarkan menjalankan kursus integriti dan bisnes kepada mangsa serta memintanya membayar sejumlah wang bagi mendapatkan projek berkenaan.
Muhammad Fazrol membuat pemindahan wang ke akaun e-dompet suspek bermula 30 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM3,070.
Muhammad Fazrol berkata, dia mula menyedari sudah menjadi mangsa penipuan selepas usaha menghubungi suspek bagi berbincang berkaitan penganjuran kursus dijanjikan tidak berhasil.
Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Awah, dekat Maran pada 7 Mei lalu.
Sementara itu, siasatan awal polis mendapati suspek adalah seorang wanita berasal dari Sarawak dan dipercayai menetap di sekitar Pahang.
Suspek juga menggunakan satu nama syarikat dipercayai bagi menjalankan aktiviti penipuan seperti itu.