fb fb fb fb fb

Ahli Dewan Negara disaran guna media sosial kongsi input perbahasan

Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Ahli-ahli Dewan Negara disaran menjalinkan hubungan erat dengan media serta berkongsi input perbahasan di dalam Dewan Negara untuk hebahan luas di media cetak dan elektronik.

Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal turut menyarankan supaya setiap ahli Dewan Negara menggunakan  platform media sosial peribadi masing-masing secara aktif, agar dapat mencapai liputan yang luas dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat yang aktif dalam dunia siber.   

Beliau berucap pada Majlis Angkat Sumpah Senator di Dewan Negara, pagi tadi.

Tiga senator mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara, pada pukul 11 pagi tadi.

Salah seorang daripadanya merupakan lantikan pilihan semula DUN Sabah berkuatkuasa hari ini, 5 Januari 2024 hingga 4 Januari 2027, iaitu Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan.

Dua lagi adalah Lantikan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini, 5 Mac 2024 hingga 4 Mac 2027. 

Dalam pada itu, Senator Datuk  Mutang Tagal percaya pelantikan ketiga-tiga senator itu merupakan manifestasi pengiktirafan terhadap sumbangan mereka selaras dengan perkara 45(2) Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau menzahirkan harapan supaya ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik akan terus menyumbang ke arah memartabatkan Dewan Negara sebagai institusi legislatif tertinggi Negara.  

"Dengan itu tanggungjawab utama Dewan yang mulia ini harus direalisasikan melalui lontaran idea, pandangan dan cadangan yang benar-benar bebas daripada pengaruh peribadi dan politik dalam memutuskan sesuatu Rang undang undang atau usul.

"Saya juga ingin menekankan bahawa adalah penting untuk setiap Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa membuat persediaan kajian awal yang komprehensif di dalam mempertimbangkan dan berbahas sebagai Ahli Dewan Negara yang mulia ini", katanya di Dewan Negara hari ini. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD