Agong selamat tiba di St Petersburg bagi mulakan lawatan khas

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di St Petersburg, Rusia bagi lawatan khas bermula hari ini sehingga 27 Januari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yang di-Pertuan Agong tiba di St Petersburg untuk lawatan khas sehingga 27 Januari.
  • Disambut oleh pegawai tinggi Leningrad Oblast dan Duta Besar Malaysia ke Rusia.
  • Lawatan atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin.
  • Tujuan lawatan untuk perkukuh hubungan dua hala dalam diplomasi, pelancongan dan kebudayaan.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pesawat khas Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo pada pukul 2.38 petang waktu tempatan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Gabenor Leningrad Oblast, Alexander Yuryevich Drozdenko; Naib Gabenor Leningrad Oblast, Yaroslav Anatolyevich Serov dan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar St Petersburg, Evgeny Dmitrievich Grigoriev serta Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.

Terdahulu, pesawat khas membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 8.25 pagi.

Lawatan Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Lawatan khas itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Rusia, khususnya dalam bidang diplomatik, pelancongan dan pertukaran kebudayaan.

St Petersburg yang diasaskan pada tahun 1703, pernah berperanan sebagai ibu negara Rusia dan terkenal sebagai antara pusat kebudayaan, seni bina serta warisan sejarah terpenting negara itu.

Keindahan landskap seni bina klasik dan bangunan bersejarah menjadikan bandar itu destinasi pelancongan utama yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

Gabungan unik sejarah, seni dan keindahan bandar terus meningkatkan daya tarikan St Petersburg, termasuk dalam kalangan pelancong dari Malaysia.

Pada tahun lalu, lebih 160,000 rakyat Malaysia direkodkan melawat bandar berkenaan.