KUALA LUMPUR, 8 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih di Kem Perdana, Sungai Besi. Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 9.00 pagi dimulakan dengan Hormat Diraja; serentak dengan alunan lagu Negaraku.
Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil.
Istiadat kemudian disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Panji Tentera Darat Malaysia, Panji Tentera Laut dan Panji Tentera Udara.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 40 pegawai dan 888 anggota ketiga-tiga cabang-cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah.
Terdahulu, anggota perbarisan melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan laju sebelum mara menghadap pasangan diraja berkenaan.
Satu persembahan khas melibatkan seorang pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat membabitkan gabungan pancaragam pusat ATM bersama Drumline dan Brassband Tentera Darat turut memeriahkan Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih.
Aset lain turut terlibat dalam perbarisan adalah Kereta Kebal Pendekar, Kenderaan Pelancar Unit Lancar Berganda Roket Astros 2, Kenderaan Perisai Lipan Bara dan Kenderaan Perisai Gempita.
Sejurus tamat istiadat perbarisan, warga ATM turut mengadakan acara 'send off' kepada baginda berdua melalui Kawalan Kehormat Kuarter di Balai Pengawal Utama.
Istiadat perbarisan berkenaan diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari depan.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.