KUALA LUMPUR, 26 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Keberangkatan turut disambut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah bersama para hadirin di Masjid Sallehin, PULAPOL.
Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat ke Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim untuk majlis berbuka puasa.