fb fb fb fb fb

Agong, PM ucap takziah kepada keluarga Mutang Tagal

FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia, pagi tadi.

Menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar itu.

"Pemergian beliau ketika berkhidmat untuk negara. Semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar ini. Salam takziah," titah baginda.

Terdahulu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima rawatan di kemudahan itu setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas.

Mendiang meninggalkan isteri, Datin Ho May Leng dan tiga anak.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian mendiang Mutang sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan mereka tabah berdepan dugaan itu.

"Mendiang adalah orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan ia pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

"Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya," kata beliau," kata Anwar menerusi Facebook beliau.

ARTIKEL BERKAITAN
Yang di-Pertua Dewan Negara meninggal dunia
Datuk Mutang Tagal dilantik yang Dipertua Dewan Negara ke-20

SITI AISHAH MD ISA