fb fb fb fb fb

Agong lawat FNSS Defence System AS di Turkiye

ANKARA, 17 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat salah sebuah syarikat pemain utama industri pertahanan Turkiye, FNSS Defence System AS, di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Pertahanan Turkiye, Halusi Akar dan Ketua Eksekutif FNSS, Gurol Carmikli.

Al-Sultan Abdulah kemudian diberi sembah taklimat dan pertunjukan demonstrasi mengenai teknologi sistem pertahanan yang dibangunkan FNSS.

Baginda turut berkenan menaiki dua buah kenderaan perisai milik syarikat itu.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
berkenan berangkat melawat FNSS Defence System AS di Ankara)

FNSS adalah syarikat yang bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) milik syarikat tempatan membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan yang dihasilkan di Pekan, Pahang.

Kenderaan berperisai Adnan yang digunakan oleh Kor Amor Diraja, Tentera Darat sejak 20 tahun lalu, diambil sempena nama seorang askar melayu, Leftenan Adnan Saidi yang terlibat dalam pertempuran Singapura semasa Perang Dunia II.

Malaysia sebelum ini telah memesan dan menerima sebanyak 267 unit ACV-300 dalam pelbagai versi.

Al-Sultan Abdullah turut menikmati santapan tengah hari bersama Menteri Pertahanan Turkiye dan barisan pengurusan tertinggi FNSS.

Turut hadir Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Laporan Farhana Azwanee Ismail

Media Baharu