
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Kompleks Smolny, sebuah bangunan bersejarah penting di bandar raya St Petersburg, Rusia, semalam.
- Sultan Ibrahim melawat Kompleks Smolny, pusat pentadbiran bersejarah di St Petersburg, disambut Gabenor Alexander Beglov.
- Baginda turut dibawa ke Smolny Bunker, kubu perlindungan bawah tanah dibina pada 1937.
- Lawatan diakhiri dengan santapan malam anjuran Beglov, dihadiri Duta Besar Malaysia dan disertai tayangan video bandar.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke kompleks yang kini berfungsi sebagai pusat pentadbiran bandar raya St Petersburg disambut oleh Gabenor St Petersburg, Alexander Beglov,
Hantaran sama memaklumkan, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg, Evgeny Dmitrievich Grigoriev, turut hadir menyambut keberangkatan Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat Smolny Bunker, iaitu kubu perlindungan bawah tanah yang terletak di bawah Kompleks Smolny dan dibina pada tahun 1937, dengan diiringi Alexander Beglov.

Seusai lawatan, Seri Paduka Baginda diraikan dalam satu majlis santapan malam yang dianjurkan oleh Alexander Beglov dan turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Rusia, Cheong Loon Lai.
Menurut hantaran berkenaan, majlis santapan itu turut diserikan dengan tayangan video berkaitan bandar raya St Petersburg.
Dalam majlis sama, Beglov memaklumkan St Petersburg bukan sahaja antara destinasi pelancongan utama dunia, malah memiliki hampir 800 jambatan, 94 sungai dan kira-kira 200 muzium.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke St Petersburg adalah bagi lawatan khas atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin.