KUALA LUMPUR, 4 Disember - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ke-52 di Jubilee Park, Expo City di Dubai pada Sabtu (2 Dis).
Menurut hantaran di Instagram Istana Negara, pada majlis tersebut, Seri Paduka berkenan bertemu dengan beberapa ketua serta pemimpin negara asing yang lain atas persilaan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
"Antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dan Menteri Kanan Penyelaras Keselamatan Negara Singapura Teoh Chee Hean.
"Turut berangkat paduka anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," menurut hantaran itu.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di Abu Dhabi bagi lawatan khas hingga hari ini (4 Dis).
Lawatan khas itu adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang bermula 30 November hingga 12 Disember ini.