KUALA LUMPUR, 22 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat berkunjung ke bazar Ramadan di kawasan Jalan Telawi, Bangsar di sini, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni para peniaga di bazar itu dan membeli juadah berbuka puasa bersama petugas Istana Negara.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Sultan Ibrahim turut berangkat ke Bangsar Shopping Centre (BSC) untuk membeli-belah.
"Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong nyata mengujakan pengunjung BSC yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama Seri Paduka Baginda," menurut hantaran itu.
Sementara itu, dalam hantaran berlainan, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyantuni penduduk terjejas banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor iaitu PPS Kampung Maju Jaya dan PPS Kampung Sinaran Baru.
"Seri Paduka Baginda meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk terjejas serta mengurniakan sumbangan peribadi kepada mereka di PPS Kampung Maju Jaya. PPS yang mula dibuka pada 20 Mac itu menempatkan 313 orang daripada 74 keluarga.
"Seri Paduka Baginda kemudian berangkat ke PPS Kampung Sinaran Baru yang menempatkan 435 orang daripada 110 keluarga," menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia turut menyumbang kit penjagaan kebersihan diri dan bantuan perubatan kepada setiap keluarga di PPS.