fb fb fb fb fb

Agihan bubur lambuk jadi program wajib waktu bulan puasa

Aktiviti memasak bubur lambuk sudah menjadi tradisi di Malaysia yang dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang sesama insan sesuai dengan keberkatan bulan Ramadan / Foto UUM

SINTOK, 23 Mac – Setiap kali tiba bulan Ramadan, aktiviti memasak bubur lambuk untuk disedekahkan kepada orang ramai sudah menjadi amalan di negara ini, yang dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan dan perasaan kasih sayang sesama insan.

Penyediaan bubur lambuk yang melibatkan aktiviti masak secara beramai-ramai pula menyerlahkan semangat bekerjasama dan kesediaan berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini.

Jika dahulu, program agihan bubur lambuk ini biasanya melibatkan masjid dan surau tetapi pada hari ini, ia sudah menjadi tradisi yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia tidak kira peringkat usia.

Walaupun terdapat pelbagai resipi penyediaan bubur lambuk di negara ini, juadah ini mempunyai tempat yang sangat istimewa dan sangat dikenali oleh rakyat Malaysia tidak kira agama atau kaum.

Kedudukan bubur lambuk yang istimewa ini menjadikannya sebagai pilihan utama kepada organisasi tidak kira kecil atau besar seperti jabatan kerajaan, syarikat swasta, institusi pendidikan tinggi, persatuan atau kelab-kelab untuk menganjurkan program khusus di bulan Ramadan.

Dan tidak terkecuali, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kelab Kebajikan yang menjalankan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dan mengagihkan 260 bekas bubur lambuk kepada komuniti universiti.

Pengerusi Kelab Kebajikan SMMTC, Abd Hadi Abd Razak berkata, pensyarah, kakitangan dan pelajar bersama-sama menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur lambuk seperti memotong bawang, halia dan sebagainya.

Peserta kemudian bergilir-gilir untuk mengacau bubur lambuk supaya semua ramuan sebati dan bubur lambuk tidak berkerak di bahagian bawah periuk atau kawah.

“Proses penyediaan bubur lambuk ini mematuhi resipi tradisi di UUM supaya rasa dan keenakan bubur lambuk dapat dipelihara dan dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang. Program ini bukan sahaja mengeratkan kerjasama dalam kalangan warga SMMTC tetapi paling utama, mengambil keberkatan bulan yang mulia ini. Aktiviti akan diteruskan setiap tahun kerana ia sudah menjadi program wajib kepada pusat pengajian dan Kelab Kebajikan,” jelas Abd Hadi.

Tahun ini, aktiviti memasak bubur lambuk bermula pukul 8:30 pagi dan dua periuk besar juadah istimewa ini berjaya disiapkan sebelum masuk waktu zohor oleh warga SMMTC.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD