fb fb fb fb fb

Agenda peralihan tenaga terus diberi tumpuan

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan kepada agenda peralihan tenaga dalam usaha menstrukturkan ekonomi ke arah bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kemerdekaan ekonomi negara akan menjadi taruhan, sekiranya isu kemampanan tenaga melibatkan gas asli dan minyak mentah tidak diselesaikan.

Menerusi hantaran video di laman sosialnya, Rafizi menjelaskan, Malaysia mengimport 25 peratus keperluan gas asli untuk keperluan Semenanjung Malaysia, tahun lalu.

Sekiranya peralihan tenaga tidak dipercepat, kadar tersebut dijangka akan terus meningkat tahun ini dan seterusnya.

"Jika kita terus dengan amalan-amalan sebelum ini (subsidi pukal, penggunaan tenaga yang tidak berhemah, komposisi penjanaan elektrik yang bergantung kepada arang batu dan gas asli), menjelang 2050, ekonomi kita bergantung kepada harga sumber asli yang ditetapkan negara lain," katanya.

Rafizi juga menambah pengeluaran kasar minyak mentah turun mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan mencecah 390,000 tong minyak mentah sehari berbanding 650,000 tong sebelum ini

Manakala, penggunaan gas asli di Semenanjung Malaysia untuk penjanaan elektrik dan sebagai bahan asas industri, melebihi pengeluaran domestik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI