fb fb fb fb fb

AGC tidak bercadang dakwa individu lain sehingga prosiding inkues Zara Qairina selesai

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita pada Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak. Foto- BERNAMA

KOTA BHARU, 6 September - Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak bercadang untuk mendakwa mana-mana individu lain sehingga prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, selesai.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini hanya lima pelajar perempuan telah didakwa berhubung kes berkenaan.

“Hanya lima pelajar perempuan yang kita tuduh baru-baru ini. Setakat ini kita tidak ada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga inkues selesai. Selepas itu, kita akan lihat semula bergantung kepada keputusan inkues yang sedang berjalan di Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, katanya kes berkenaan kini berada pada peringkat keterangan oleh Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu.

Dalam perkembangan sama, Tan Sri Mohd Dusuki memaklumkan Jabatan Peguam Negara akan meneliti kandungan media sosial yang mempertikai prosiding inkues kes tersebut sama ada perbuatan itu boleh dianggap menghina mahkamah.

“Kita akan tengok apa kandungan dalam TikTok atau media sosial tersebut. Kita akan kaji dahulu sebelum ambil tindakan lanjut. Buat masa ini saya tidak boleh komen terlalu awal kerana proses masih berjalan. Namun, kita akan teliti satu persatu komen atau kandungan media sosial yang dimuat naik,” katanya.

Beliau menambah, masyarakat tidak seharusnya terburu-buru meninggalkan komen berkaitan prosiding sehingga proses inkues selesai dijalankan.

Sementara itu, Tan Sri Mohd Dusuki menjelaskan prosiding berkenaan telah ditetapkan untuk tempoh tertentu dan akan berlangsung sebagaimana yang dirancang bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.

Terdahulu, prosiding inkues Zara Qairina bagi menentukan punca kematian bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada 3 September.

Inkues selama 19 hari itu dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September, dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN