KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut AGC dalam kenyataan hari ini, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Prosiding di Mahkamah Koroner itu bertujuan mengenal pasti punca dan sebab kematian, termasuk sama ada wujud unsur jenayah.
AGC menegaskan, proses tersebut akan dijalankan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.
Dengan pengumuman ini, kesemua empat permohonan pasukan peguam keluarga Zara Qairina kepada AGC pada 5 Ogos lalu telah dipenuhi.
Tiga permohonan sebelum ini melibatkan pembukaan semula siasatan, penugasan pegawai penyiasat berpengalaman daripada Bukit Aman dan penggalian semula kubur untuk bedah siasat baharu.
Isnin lalu, bedah siasat jenazah selama hampir lapan jam dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth.