KOTA BHARU, 6 September - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memastikan kes berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah agama di Kelantan pada tahun 2013 akan diselesaikan dengan segera.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat siasatan lanjut secara berterusan dan beliau juga dimaklumkan dari semasa ke semasa berkenaan kes tersebut.
Katanya, jika terdapat perkembangan terkini, pihaknya akan mengambil tindakan.
Menurutnya, beliau difahamkan proses inkues berkenaan kes tersebut telah selesai dan pihak keluarga mangsa sebelum ni ada mengeluarkan kenyataan menggesa siasatan lanjut dan perkara itu telah dilakukan.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk proses ni berjalan dengan lancar, kalau boleh secepat mungkin. Itu harapan saya dan harapan semua pun. Kita nakkan perkara ini berakhir dengan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di sini.
Terdahulu media melaporkan, Wan Ahmad Faris, 16 tahun, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah agama di Kelantan ditemukan mati tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.
Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan bahawa mangsa telah dibunuh.
Susulan itu, keluarga allahyarham memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi am, khas dan lain-lain.