PUTRAJAYA, 12 Julai-Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) telah mengeluarkan award untuk aduan pertama mengenai gangguan seksual secara fizikal oleh seorang majikan lelaki terhadap pekerja wanita.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, award itu dikeluarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pendengaran pertama pada 23 Mei yang lalu, selaras dengan seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
TAGS membuat keputusan bahawa pengadu berjaya membuktikan bahawa responden telah melakukan gangguan seksual, setelah menimbangkan keterangan dan bukti yang dikemukakan.
Susulan itu, TAGS memerintahkan responden untuk mengeluarkan pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang diminta oleh pengadu.
Tribunal ini juga menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk menangani aduan-aduan gangguan seksual dengan lebih cepat, mudah, dan kos yang minimum.