fb fb fb fb fb

ADE buka hangar MRO terbesar di Malaysia

Sekitar majlis perasmian hangar MRO ADE di Sepang / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 27 September- Anak syarikat Capital A, Asia Digital Engineering (ADE), mengumumkan pembukaan rasmi hangar perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulihnya (MRO).

Pembukaan hangar yang mempunyai 14 barisan penyelenggaraan itu merupakan yang terbesar di Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kedudukan syarikat berkenaan dalam industri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata ADE akan menjadi perintis dalam mendapatkan lebih banyak nilai dalam rantaian bekalan, menjadikan kejuruteraan lebih mampan.

"Kami akan terus maju sebagai MRO, dan mendorong lebih banyak nilai untuk syarikat penerbangan," katanya.

Dalam majlis perasmian hangar tersebut, fasiliti itu telah dianugerahkan tiga rekod kebangsaan oleh Malaysia Book of Records.

Anugerah itu mengiktiraf struktur kejuruteraan canggih hangar tersebut, termasuk aspek reka bentuk, saiz, dan inovasi teknikalnya.

Pengiktirafan tersebut menonjolkan kehebatan seni bina dan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam sektor aeroangkasa global.

Fasiliti baharu itu meningkatkan kapasiti ADE dalam menyediakan perkhidmatan MRO bertaraf dunia kepada syarikat penerbangan, menyokong matlamat syarikat penerbangan ini mengoperasikan 300 pesawat dalam tempoh lima tahun. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE