
PADANG BESAR, 28 Mac – Usaha mendidik serta menyedarkan generasi muda mengenai kepentingan adat dan nilai budaya Melayu perlu terus diperkasakan bagi memastikan warisan itu kekal terpelihara.
- Generasi muda harus memahami adat dan nilai budaya sebagai wadah penyatuan masyarakat serta penopang kestabilan negara.
- Menjaga dan memartabatkan adat istiadat adalah amanah bersama, bukan tugas golongan tertentu sahaja.
- Perlu kerjasama mencari pendekatan terbaik untuk memperkukuh adat, mengharmonikan hubungan dengan Islam dan memperkasa peranan institusi Raja.
- Membina naratif baharu agar adat dan agama berfungsi seiring menyokong kemajuan Perlis merangkumi aspek rohani, budaya dan pentadbiran.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, generasi muda perlu memahami bahawa adat dan nilai budaya bukan sekadar warisan nenek moyang, sebaliknya menjadi wadah penting dalam menyatukan masyarakat serta mendukung kestabilan negara.
Baginda menegaskan, tanggungjawab menjaga dan memartabatkan adat istiadat bukan terletak kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipikul semua pihak.
Menurut baginda, masyarakat juga perlu berganding bahu mencari pendekatan terbaik untuk memperkukuh kedudukan adat istiadat, memperindah hubungan dengan agama Islam serta memperkasa peranan institusi Raja dalam sistem pemerintahan negeri.
“Dengan cara ini, kita mampu membina naratif baharu mengenai bagaimana adat dan agama dapat berfungsi seiring dalam menyokong kemajuan negeri Perlis secara menyeluruh, merangkumi aspek rohani, budaya dan pentadbiran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan bagi aktiviti pengimarahan Masjid Al-Furqan dan Masjid Al-Hasanah di Pekan Siam, Padang Besar, Thailand.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.