
IPOH, 27 Mac – Jabatan Mufti Perak menasihatkan penganjuran acara ‘Tidur Lambak’ di sini diteliti semula dan disaran merujuk pihak berautoriti termasuk Jabatan Mufti serta Jabatan Agama Islam.
- Pelaksanaan perlu mengikut panduan syarak untuk mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
- Ambil kira aspek agama dan adat bagi mengelakkan sebarang unsur yang tidak sesuai.
- Pastikan penganjuran teratur bagi memelihara aurat, nilai agama dan budaya masyarakat.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Jabatan Mufti tidak melarang aktiviti sosial, namun ia perlu dilaksanakan mengikut panduan syarak selain mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang dikhuatiri boleh melanggar batas pergaulan.
“Pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek agama dan adat bagi mengelakkan sebarang unsur yang tidak sesuai. Situasi itu juga dikhuatiri menjejaskan pemeliharaan aurat dan pandangan.
“Langkah itu penting bagi memastikan penganjuran berjalan dengan baik serta memelihara nilai agama dan budaya masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Acara selama dua hari pada 27 dan 28 Mac itu diadakan bagi menghidupkan semula pengalaman budaya tidur beramai-ramai dalam suasana santai.