fb fb fb fb fb

ABM-UUM akan kolaborasi bantu input modul keusahawan kepada pelatih

Ahmad Maslan (dua kanan)

SINTOK, 18 Februari- Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara akan berkolaborasi bersama Univerisiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha membantu memberi input modul keusahawan kepada pelatih di ABM.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelatih di ABM bukan sahaja memiliki kemahiran di sektor pembinaan, sebaliknya turut mempunyai pendidikan kemahiran keusahawanan.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga akan berbincang mengenai tempoh latihan yang bersesuaian.

Pelatih di enam lagi cawangan ABM di beberapa negeri lain dijangka turut sama mengikuti latihan modul latihan berkenaan dengan kerjasama univeristi berdekatan.

"Paling tidak antaranya memanggil mereka yang telah membuka syarikat (yang) sebelum itu adalah pelatih di ABM (bagi) berkongsi bagaimana mereka (berjaya) membuka syarikat kimpalan, syarikat kontraktor, menjual dan servis aircond (pendingin hawa) misalnya.

"Pengalaman itu boleh dikongsikan. (Jadi) mungkin itu sebahagian daripada modul latihan keusahawan, modul tambahan keusahawan kepada pelatih di ABM," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ABM Wilayah Utara di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Zaid Zakaria.

Sementara itu, seramai 80,000 pekerja mahir telah dilatih melalui program latihan dan penilaian yang dijalankan ABM dan CIDB dengan peruntukan RM232 juta bermula 2018 hingga 2023.

SITI AISHAH BINTI MD ISA