
KUALA LUMPUR, 8 Mac –Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan terhadap pendekatan ‘diplomasi budiman’ yang digerakkan Malaysia dalam menangani konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
- Pendekatan diplomatik berhati-hati, strategik dan berprinsip diperlukan untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.
- Keberkesanan diplomasi sering berlaku melalui saluran sulit, bukan hanya kenyataan terbuka atau retorik awam.
- Malaysia perlu terus menjadi jambatan dialog, seimbang suarakan keprihatinan terhadap Palestin tanpa menutup ruang rundingan.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata pendekatan diplomasi yang berhati-hati, strategik dan berprinsip adalah langkah paling wajar dalam memastikan ketegangan di rantau itu dapat diredakan.
“Melihat bahawasanya dalam situasi geopolitik yang semakin tegang, khususnya di Asia Barat ketika ini, perdekatan yang paling bertanggungjawab dan reasonal dalam konteks ini adalah diplomasi budiman yang ada prinsip yang tersendiri.
“Sokongan ABIM terhadap perdekatan kerajaan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpaksikan kepada keyakinan bahawa konflik yang berpanjangan tidak boleh diselesaikan melalui perdekatan konfrontasi ketenteraan semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan ruang untuk diperbanyakkan dialog dan rundingan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Fahmi berkata dalam diplomasi antarabangsa, banyak proses penting berlaku melalui saluran yang tidak semestinya diumumkan secara terbuka, justeru keberkesanannya tidak wajar diukur semata-mata melalui kenyataan terbuka atau retorik awam.
Beliau berkata amalan diplomasi inklusif yang diamalkan sejak sekian lama membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk negara-negara Teluk, Iran serta kuasa besar dunia seterusnya berperanan sebagai jambatan dialog dalam situasi konflik.
Dalam konteks Asia Barat, Ahmad Fahmi berkata realiti geopolitik juga perlu diambil kira dengan negara-negara Teluk sendiri berusaha mengelakkan konflik lebih luas di rantau tersebut kerana pendekatan yang bersikap terlalu konfrantasi dari luar rantau berpotensi menjejaskan usaha penstabilan yang sedang berjalan.
Malaysia, katanya, perlu terus menyuarakan keprihatinan terhadap keadilan dan keamanan, khususnya dalam isu Palestin dan penderitaan rakyat Gaza, namun pada masa yang sama memastikan langkah diambil tidak menutup ruang diplomasi yang sedang diusahakan.
“Malaysia secara tradisinya memainkan peranan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa yang menuntut pendekatan seimbang, berhemah dan berpandangan jauh agar kita terus dipercayai dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan global,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata cadangan agar Malaysia mengambil pendekatan lebih konfrontatif dalam konflik itu perlu dilihat secara berhati-hati, kerana dalam realiti hubungan antarabangsa, diplomasi yang berkesan bukan ditentukan oleh kenyataan paling lantang, tetapi keupayaan membina kepercayaan serta membuka ruang dialog antara pihak yang bertelagah.
“ABIM menyeru semua pihak termasuk masyarakat MADANI agar menyokong inisiatif diplomatik yang konstruktif serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan ruang diplomasi yang sedang berjalan.
“Malaysia wajar memainkan peranan sebagai negara yang mengutamakan dialog, kestabilan dan keamanan demi kepentingan umat manusia sejagat,” katanya.