RAUB, 17 Mac- Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur dalam satu kebakaran di Felda Tersang Satu, Raub, awal pagi tadi.
Mangsa, Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46, meninggal dunia ketika menyelamatkan diri selepas terjatuh di belakang rumah, sementara adiknya Abdul Hadi Abdullah Suhaimin, 39 tahun, pula melecur pada bahagian tangan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, panggilan kecemasan diterima Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Pahang kira-kira jam 1.42 pagi berhubung kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dan Sungai Koyan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
"Kebakaran membabitkan rumah jenis sementara dan rumah jenis kekal itu dapat dikawal sepenuhnya pada 2.51 pagi sebelum kami menemui seorang mangsa yang terjatuh di bahagian belakang rumah dipercayai ketika cubaan keluar dari kediaman itu.
Ujarnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
Dalam pada itu Wan Mohammad Zaidi menjelaskan, anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus manakala rumah bersebelahan hanya 20 peratus yang hanya membabitkan bahagian bilik.
Katanya, pihak bomba menggunakan dua aliran gelung hos dan satu aliran hos sepanjang 200 kaki bagi menggunakan bekalan air daripada tangki jentera.
"Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan. Bagaimanpun, mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Seorang lagi mangsa yang cedera di bawa ke hospital bagi tujuan rawatan,” katanya.