SHAH ALAM, 16 Februari- Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), secara rasmi menerima akreditasi daripada AACSB International (AACSB) bagi tempoh enam tahun, bermula 2025 hingga 2030.
AACSB yang merupakan badan akreditasi sekolah perniagaan tertua dan paling berprestij di dunia mengiktiraf kecemerlangan dalam aspek pengajaran, penyelidikan dan pembelajaran pelajar.
Dengan penganugerahan akreditasi itu, AAGBS kini berada dalam kelompok elit 6 peratus sekolah perniagaan terbaik di peringkat global dan menjadi sebahagian daripada 1,047 institusi yang diakreditasi di 67 buah negara.
Kejayaan berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju dalam bidang pendidikan perniagaan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata kejayaan tersebut adalah hasil kepimpinan strategik dan usaha bersepadu seluruh warga UiTM termasuk staf akademik serta pentadbiran AAGBS, pelajar, alumni serta rakan industri dan antarabangsa.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen AAGBS dalam menyediakan pendidikan perniagaan yang berkualiti tinggi serta memastikan graduannya memiliki kemahiran kepimpinan dan penyelesaian masalah yang inovatif selaras dengan keperluan industri,” katanya.
AAGBS, sebagai sekolah perniagaan pascasiswazah UiTM, menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan.
Institusi tersebut berperanan penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berupaya memenuhi keperluan industri di peringkat global.
Akreditasi AACSB yang diperoleh turut memperkukuh misi AAGBS untuk terus menjalinkan kerjasama dengan industri, memperkasa komuniti dan memajukan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Pencapaian itu juga selaras dengan komitmen UiTM dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti serta menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan dunia perniagaan.