ISKANDAR PUTERI, 13 November- Kira-kira 990 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar, siap dipasang dan telah beroperasi, bersempena dengan Pelan Transformasi Bandar Pintar 2030 di Johor.
Pelaksanaan inisiatif itu melibatkan empat kawasan bawah wilayah pembangunan 'The Greater JB', merangkumi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya menyasarkan 1,500 unit CCTV pintar untuk dipasang, dalam tempoh dua tahun lagi.
"Sistem CCTV ini menggunakan teknologi AI dan boleh trace (kesan) pergerakan kenderaan. Laporan itu akan dikongsikan dengan pihak berkuasa (polis).
"Sebab itu smart CCTV ini antara agenda kita bukan setakat CCTV itu sahaja, tetapi juga memastikan aspek kebersihan. Kawasan hotspot (tumpuan) banjir, jumlah kenderaan yang masuk ke Johor, semua kita dapat butirannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon 2024, di sini.
Setakat ini, sekitar 500 unit CCTV pintar telah dipasang bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru, manakala 300 unit di Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
100 unit di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan 90 di Majlis Perbandaran Kulai.