
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) ditempatkan di lokasi strategik bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2026.
- Pegawai KPDN ditempatkan di pasar awam dan pusat membeli-belah untuk memantau pematuhan Skim Harga Maksimum Hari Raya.
- Skim SHMMP HRP 2026 dilaksanakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac.
- Tindakan diambil terhadap peniaga melanggar AKHAP 2011; peniaga wajib patuhi harga maksimum, tanda harga merah jambu dan alat timbang disahkan.
- Sebanyak 27 barangan dikawal tahun ini; pengawalan berbeza mengikut negeri membantu kawal harga barangan keperluan.
Menurut Pengarah KPDN WPKL Mohd Sabri Seman, kesemua pegawai dan anggota berkenaan ditempatkan di pasar awam dan pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap skim tersebut.
Tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2026 itu berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
Malah mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Wajib kepada semua peniaga tidak menjual melebihi harga maksimum barangan harga terkawal. Kedua meletakkan tanda harga pink, tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Sementara yang ketiga memastikan barangan harga kawalan mencukupi bekalan, tiada berlaku aktiviti sorok atau apa-apa manipulasi. Dan keempat menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya ketika ditemui dalam operasi pemantauan harga di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Sabri berkata sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal di bawah skim berkenaan pada tahun ini berbanding 26 barangan tahun lepas antaranya bawang kuning besar, bawang merah besar, daging lembu tempatan dan ikan kembung
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah barangan yang dikawal berbeza mengikut negeri iaitu 23 barangan di Sabah dan Sarawak, 24 di Semenanjung, 23 di WPKL serta 22 di Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu, tinjauan harga barangan keperluan baru-baru ini mendapati rata-rata pengguna menyambut baik pelaksanaan SHMMP HRP yang memperlihatkan perbezaan ketara berbanding harga pasaran biasa.
Bagi seorang pembeli, Nasri Mohamad, 55, beliau mengakui terdapat penurunan harga yang sangat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, terutamanya bagi barangan asas seperti minyak masak dan telur ayam.
“Memang ada perbezaan ketara dan saya lihat harga di sini lebih rendah. Sebagai contoh, telur ayam yang biasanya dijual pada harga melebihi RM12, kini boleh didapati pada harga RM8 sahaja. Saya amat berharap agar harga sebegini dapat dikekalkan walaupun selepas berakhirnya musim perayaan nanti,” katanya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh Habsah Jidin, 50, yang menyifatkan kepelbagaian pilihan barangan membolehkan pengguna membuat keputusan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Menurut beliau, meskipun terdapat variasi harga, namun kewujudan pilihan barangan yang lebih murah seperti beras dan sayur-sayuran memberikan ruang untuk pengguna berjimat.
“Di sini, kita ada banyak pilihan untuk barangan seperti beras, jadi kita boleh memilih yang lebih mampu milik. Malah, harga sayur-sayuran juga dilihat lebih murah sedikit. Apabila harga barangan lebih terkawal, sekurang-kurangnya ia membantu kami untuk lebih berjimat dalam perbelanjaan harian,” jelasnya.