GEORGETOWN, 8 Januari - Kerajaan Pulau Pinang menyediakan 99 lori tangki yang akan digunakan ketika gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Januari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kesemua tangki tersebut termasuk 97 tangki statik telah diisi dengan air.
Katanya, pihak kerajaan negeri telah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi tempoh 96 jam ketiadaan air bermula pukul 6.00 pagi pada 10 Januari hingga 6.00 pagi 14 Januari ini yang melibatkan kira-kira 80 peratus pengguna di Pulau Pinang.
"Saya harap semua pengguna sudah menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh berkenaan, sementara menunggu kerja-kerja siap dan menunggu penghantaran air kecemasan dalam tempoh gangguan ini.
"Sekiranya air yang disimpan itu tidak mencukupi dalam rumah masing-masing. Semua tangki-tangki yang disediakan telah siap siaga untuk digerakkan dan tangki statik telahpun diisi air," kata Chow Kon Yeow, di sini.
Jelasnya, penggunaan semua lori tangki dan tangki statik tidak dapat menggantikan bekalan air harian biasa tetapi diharap sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna yang terjejas.