fb fb fb fb fb

980 penduduk terkesan banjir direkodkan setakat malam ini -NADMA

Foto Fail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Jumlah penduduk terkesan banjir di Terengganu, Pahang dan Johor terus menurun kepada 980 orang di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini berbanding 1,114 orang petang tadi. 

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 923 orang daripada 275 keluarga direkodkan di Terengganu yang ditempatkan di tujuh PPS di Dungun.

Di Johor pula, 29 orang kekal ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi, manakala di Pahang sebanyak 28 orang masih berlindung di dua PPS di Rompin. 

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya iaitu di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 25 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI