JOHOR BAHRU, 20 Oktober - Polis Johor mengeluarkan 968 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Lancar yang bermula petang semalam, sempena sambutan Deepavali.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, antara kesalahan direkodkan ialah memandu secara berbahaya, tiada lesen dan mengubah suai kenderaan.
Turut ditahan, 26 individu berumur antara 15 hingga 46 tahun atas kesalahan trafik dan dadah.
Sementara itu, 1,238 pegawai dan anggota polis ditugaskan dalam pelbagai operasi termasuk Op Lancar, bagi memantau lokasi strategik sempena Deepavali.
Ia melibatkan kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli belah, kuil, lebuh raya utama dan pintu masuk sempadan negara.
"Selain itu, kita juga bekerjasama agensi luar seramai 75 orang yang membantu operasi iaitu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan RELA, selain PBT, AADK dan sukarelawan polis," katanya.
Op Lancar akan dilaksanakan hingga Rabu (22 Oktober), dengan tumpuan bagi memastikan kelancaran aliran trafik semasa musim perayaan.