fb fb fb fb fb

91 warga asing ditahan, hasil risikan dan maklumat awam

Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 September- Seramai 91 warga asing ditahan dalam operasi di kilang kitar semula bahan besi di Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan dalam satu Operasi bersepadu pada 25 September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, operasi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat JIM Pahang dan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

"Operasi itu berdasarkan daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki warga China, 21 lelaki warga Pakistan, 19 lelaki warga Bangladesh, Seorang lelaki warga Indonesia, lima wanita warga China dan dua wanita warganegara Myanmar," katanya.

Operasi itu turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang iaitu buruh atau perkhidmatan paksa melibatkan kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Modus operandi kilang tersebut adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baharu dan bahan pembinaan,

Semasa operasi dilakukan, terdapat pekerja warganegara asing cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi.

Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut.

Pada masa sama sebanyak tujuh notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang berada di lokasi tersebut sewaktu operasi dijalankan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI