KUALA LUMPUR, 13 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata lebih 80,000 pemohon menyatakan kesanggupan untuk membayar kos haji sepenuhnya.
Beliau turut menyatakan 91 peratus daripada 31,600 jemaah haji yang layak telah membuat pengesahan penerimaan haji dan akan menunaikan rukun Islam kelima itu manakala baki sembilan peratus lagi akan diisi dalam kalangan pemohon rayuan.
"Setakat hari ini, Tabung Haji telah menerima sebanyak 84,000. Yang 31,600 itu dah diisi. Maka, 91 peratus sudah bagi jawapan. Jadi, baki sembilan peratus itu, yang nak diisi dalam kalangan 84,000 itu telah mengemukakan rayuan.
Dengan jumlah itu, saya ingat hampir 80,000 yang memang bersedia untuk membayar kos haji sepenuhnya. Itu maknanya semangat mereka nak menunaikan haji tahun ini," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Kepada Pusat Perubatan dan Hospital di Hospital Tunku Azizah (HTA).
Sebelum ini, rayuan kepada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia telah dikemukakan dan pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas berhubung perkara itu.
Beliau berharap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mempertimbang untuk memberikan kuota tambahan 10,000 jemaah dengan segera bagi memudahkan urusan persiapan jemaah haji yang layak.