PUTRAJAYA, 19 November- Malaysia bakal menyaksikan unjuran kematian sebanyak 87,000 sekitar tahun 2020 hingga 2030 sekiranya tiada sebarang intervensi dibuat bagi memerangi Kerintangan Antimikrob (AMR).
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, angka itu adalah berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kajian yang dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).
"Kita (Malaysia) bersama dengan yang lain Vietnam dan Filipina, semua ada data ataupun unjuran masing-masing.
Namun, jika kita tidak mengambil intervensi yang lebih serius dan lebih ketat, kita akan menyaksikan kematian antara tahun 2020 dan 2030 ini, sumbangan kita sebagai salah satu negara WPRO ini, adalah seramai 87,000. Itu adalah anggaran populasi lebih kurang 33 juta," kata Dr. Dzulkefly dalam sidang media, hari ini, di sini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (AMR) 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini.
Jelasnya, selain kehilangan nyawa, kerintangan antimikrob juga membawa kesan besar terhadap ekonomi.
Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan inisiatif yang lebih tuntas bagi memerangi AMR demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.