fb fb fb fb fb

84 peratus tanah wakaf berjaya dibangunkan

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)

KUALA LUMPUR, 18 September- Sebanyak 84 peratus tanah wakaf telah berjaya dibangunkan bagi tujuan pembinaan masjid madrasah, tanah perkuburan serta projek komensil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata manakala baki 16 peratus lagi masih belum dilaksanakan berdasarkan Statistik yang dikemaskini sehingga 31 Julai 2023.

"Antara isu yang timbul dalam membangunkan tanah wakaf antaranya ialah masalah setinggan, lokasi yang tidak strategik dan tidak sesuai dibangunkan serta kekurangan dana untuk pembangunan, namun pembangunan wakaf tidak terhad di atas tanah wakaf semata mata malah wakaf juga boleh dilaksanakan menerusi medium lain seperti tunai, saham aset dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan  perbezaan bidang kuasa antara JAUHAR dan Yayasan Wakaf Malaysia juga tidak menghalang untuk pihak berkenaan menjalinkan kerjasama dalam membangun lagi aktiviti wakaf di negara ini.


(FOTO HIASAN)

Mengenai industri halal pula, Dr Mohd Na'im berkata, Halal Development Corporation Berhad (HDC) memainkan peranan penting dalam perkhidmatan halal, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negara ini.

Menurut beliau ini termasuk memberi penumpuan terhadap latihan dan bimbingan industri bagi meningkatkan nilai tambah kepada pasaran halal.

"Dalam usaha menambah baik industri PKS JAKIM sentiasa mengadakan kerjasama dan libat urus dengan semua agensi bimbingan usahawan di bawah kementerian yang melaksanakan fasilitasi dari aspek piawaian dan prosedur termasuk tatacara permohonan sijil halal," katanya.

Ujarnya, ketika terdapat sebanyak 8,272 pemegang sijil pengesahan halal untuk semua kategori industri di negara ini, manakala jumlah PKS yang mempunyai sijil adalah sebanyak 7,306 syarikat.

Media Baharu