fb fb fb fb fb

83 projek siap di Terengganu, RM1.83 bilion diperuntukkan - PM

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pengunjung Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka di Chukai petang tadi/RTM

KEMAMAN, 21 Mac- Sebanyak 1,363 program dan projek siap direkodkan di seluruh negara sehingga 10 Mac lalu dengan kos keseluruhan RM60.1 bilion termasuk 83 projek di Terengganu bernilai lebih RM1.83 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan pembangunan di Terengganu telah ditingkatkan bagi menampung keperluan termasuk projek tebatan banjir yang masih memerlukan tambahan dana.

"Peruntukan pembangunan di Terengganu memang kita tambah. Untuk tahun ini sahaja, sebanyak RM1.836 bilion telah diperuntukkan, meningkat RM249 juta berbanding sebelum ini.

"Selain itu, tiga negeri yang menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan ialah Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Masjid Sultan Ahmad, Chukai di sini malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM2.24 bilion bagi projek tebatan banjir, pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di Terengganu.

Daripada jumlah itu, RM999.86 juta diperuntukkan bagi projek pemuliharaan muara sungai, manakala projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) melibatkan peruntukan sebanyak RM581.39 juta.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Terengganu yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam (INTIM) Wilayah Timur, Geliga, di sini.

Ketibaan beliau pada pukul 4.56 petang disambut oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Selepas mesyuarat, Anwar mengadakan lawatan Citra Kasih Ramadan Walkabout di Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka, Chukai bagi meninjau suasana jualan serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA