
SEREMBAN, 18 Mac – 800,000 kenderaan dijangka memasuki Negeri Sembilan sempena cuti perayaan Aidilfitri, meningkat hampir 74 peratus berbanding kira-kira 460,000 kenderaan pada hari biasa.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, 12 lokasi panas atau ‘hotspot‘ kesesakan telah dikenal pasti di seluruh negeri.
- 12 lokasi panas atau 'hotspot' kesesakan telah dikenal pasti di seluruh Negeri Sembilan.
- Op Selamat 26 dilaksanakan selama enam hari bermula 19 Mac bagi kawalan keselamatan dan kelancaran trafik.
- Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan awal dan mematuhi arahan petugas demi keselamatan serta kelancaran trafik.
Beliau berkata, Op Selamat 26 akan dilaksanakan selama enam hari bermula esok (19 Mac).
Manakala, Op Lancar bermula hari ini (Rabu) hingga Jumaat serta 27 hingga 27 Mac bagi memastikan kelancaran trafik.
“Pada hari pertama Op Selamat 26 yang bermula pada 19 Mac (esok) dijangka akan berlaku pertambahan jumlah kenderaan dan kesesakan lalu lintas.
“Ini disebabkan pergerakan orang ramai mula pulang ke kampung dan ke destinasi tertentu,” katanya.
Antara jalan yang dijangka akan mengalami kesesakan ialah Jalan Seremban – Kuala Pilah bermula dari kilometer (KM) 12 hingga kawasan gerai itik salai.
Selain, KM 285.4 hingga KM 282 Lebuhraya PLUS (arah selatan kawasa mendaki dan pertemuan susur Lebuhraya PLUS dan ELITE).
Serta, KM 280 hingga KM 278, KM 275 hingga RSA Seremban Lebuhraya PLUS (arah selatan – kawasan mendaki).
Turut dijangka berlaku kesesakan ialah di KM 261 hingga KM 257 Lebuhraya PLUS (arah selatan melibatkan perubahan dari empat lorong ke tiga lorong).
Dan, KM 255 hingga KM 253 Lebuhraya PLUS (arah selatan kawasan mendaki dan selekoh).
Datuk Alzafny berkata demikian pada sidang media di Plaza Tol Port Dickson arah selatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mematuhi arahan petugas di lapangan bagi memastikan
keselamatan serta kelancaran trafik.