KUALA LUMPUR, 4 Jan – Seramai 800 murid menerima bantuan persekolahan menerusi satu program kebajikan yang diadakan di Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.
- Program bantuan melibatkan 800 murid di Parlimen Bandar Tun Razak, sebahagian inisiatif kepada kira-kira 5,000 murid.
- Bantuan bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk persiapan sesi persekolahan baharu.
- Datuk Seri Dr Wan Azizah hargai sokongan ERM Foundation dan kerjasama NGO serta sektor swasta.
- Setiap pelajar terima RM300 dan kelengkapan asas; penganjur berharap program dijadikan acara tahunan.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 murid di kawasan terbabit.
Tujuannya, membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program itu memberi makna besar kerana dapat membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan serta mendorong kerjasama berterusan antara pelbagai pihak.
“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada ERM Foundation selaku penaja program ini atas komitmen yang berterusan, terutama dalam membantu anak-anak muda.
“Ia turut mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan sektor swasta dalam menyokong golongan memerlukan, khususnya melibatkan pendidikan kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan murid sebelum kembali ke sekolah.
Sementara itu, Pengasas ERM Foundation, Xin Er berkata, setiap pelajar yang terlibat menerima bantuan kewangan berjumlah RM300 berserta kelengkapan persekolahan asas bagi membantu mereka menghadapi sesi persekolahan baharu.
Beliau turut berharap program berkenaan dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan pada masa hadapan.