KRUBONG, 31 Disember- Kerajaan Negeri Melaka bercadang untuk menjadikan program Malam Bandaraya Melaka Berselawat sebagai acara tahunan.
Exco Kanan, Datuk Rais Yasin berkata, program Islamik yang diadakan bertujuan sebagai pengisian rohani khusus untuk umat Islam di negeri itu.
"Saya melihat wajah para hadirin pada malam ini sangat gembira, begitu juga para pemimpin. Walaupun berada dalam keadaan duduk bersila mungkin lebih tiga jam, tetapi semua merasa sangat puas hati kerana dapat menyanjung (memuji) ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"(Jadi), saya yakin dan percaya ini bukan kali pertama yang kita adakan pada tahun ini, sudah pasti ia akan dijadikan acara tahunan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Malam Bandaraya Melaka Berselawat di Stadium Hang Jebat, di sini.
Seramai kira-kira 80,000 umat Islam membanjiri Stadium Hang Jebat malam tadi.
Hadir sama, Yang Di Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Program anjuran Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pertubuhan Rizq Melaka merupakan sebahagian acara yang diadakan sempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka 2023 (KIAM’23).
Program tersebut bermula dengan solat maghrib berjemaah, disusuli selawat dan qasidah serta ceramah khas yang disampaikan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf bersama Sheikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim Al-Zahari dan Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Ariffin Abdul Rahim.