fb fb fb fb fb

8 sungai di Terengganu rekod paras bahaya setakat 8 pagi

Lapan sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya susulan hujan berterusan sejak semalam/FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Hujan yang berterusan melanda Terengganu beberapa hari ini menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama di negeri itu menunjukkan trend peningkatan.

Setakat 8 pagi tadi, lapan (8) sungai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, sembilan (9) sungai paras amaran dan dua (2) sungai lagi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga (3) sungai melepasi bacaan paras bahaya adalah di Hulu Terengganu iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong dengan bacaan 25.18 meter pada 7.45 pagi; Sungai Peneh di Felda Mengkawang 37.91 meter dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu iaitu 22.20 meter.

Dua (2) lagi sungai melepasi paras bahaya adalah di daerah Dungun iaitu Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dengan bacaan tertinggi 38.83 meter dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau iaitu 14.21 meter.

Turut mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya dua (2) sungai di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak dengan bacaan 20.52 meter dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih mencatatkan bacaan 14.23 meter.

Satu sungai melepasi amaran bahaya turut direkodkan di daerah Setiu dengan bacaan 21.11 meter.

Sementara itu, sembilan (9) sungai yang melepasi paras amaran membabitkan dua (2) sungai di daerah Besut, empat (4) sungai di daerah Setiu, satu (1) sungai daerah Hulu Terengganu, dan masing-masing satu (1) sungai di daerah Marang dan Kemaman.

Dua lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya, Paman di Kemaman.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN