SEREMBAN, 15 Mac- Seramai 787 pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar bagi program Repatriasi Migran di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan sejak ia dibuka pada 1 Mac hingga 13 Mac lalu.
Daripada jumlah itu, 755 PATI dewasa dan 32 kanak-kanak didaftarkan dengan warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 443 orang.
Menurut Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang, jumlah itu dikuti oleh warga Bangladesh iaitu seramai 118 orang.
"Contoh sekarang ini, katalah dia (PATI) itu datang mendaftar pada 1 hari bulan, dia kata tiket pada 10 hari bulan, jadi sehingga tarikh itu kita tidak akan tangkap sebab kita sudah bagi 'special pass' bagi membolehkan dia berada di Malaysia dari tempoh 1 hingga 10 hari bulan dan pada masa kita akan keluarkan 'check out memo' untuk dia keluar di pintu KLIA,"katanya.
Program Repatriasi Migran merupakan inisiatif kerajaan kepada PATI yang telah melakukan kesalahan masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas untuk balik ke negara asal secara sukarela.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Seremban.
Sementara itu, mengikut statistik tahun 2023 sebanyak 699 operasi telah dilaksanakan oleh JIM Negeri Sembilan membabitkan keseluruhan tangkapan seramai 1773 PATI dan 59 majikan.
Lima 'hotspot' dikenal pasti di negeri itu melibatkan kawasan Seremban dan Nilai dengan keseluruhan pelaksanaan sebanyak 563 operasi membabitkan 1341 tangkapan PATI serta 44 majikan.
Trend peningkatan berlaku pada tahun ini sejak Januari hingga Februari lalu yang mencatatkan pelaksanaan 155 operasi, 477 tangkapan PATI dan dua majikan.