fb fb fb fb fb

77 PEDi di Kedah bantu penduduk kemas kini PADU

Orang ramai dibantu mengemaskini PADU/Foto facebook DOSM Kedah

ALOR SETAR, 8 JANUARI- Jabatan Perangkaan Malaysia Malaysia Negeri Kedah (DOSM Kedah) menjalin kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kedah bagi membolehkan 77 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri itu dapat membantu mengemas kini Pangkalan Data Utama (PADU).

DOSM Kedah dalam satu hantaran di facebook berkata, pihaknya telah "mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kedah, Mazlan Othman.

"Kunjungan adalah bagi menjalin hubungan kerjasama strategik bagi pelaksanaan PADU di peringkat negeri Kedah.

"Antaranya adalah penggunaan keseluruhan 77 PEDi di negeri Kedah bagi membantu penduduk Kedah membuat pengemaskinian PADU," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, hanya 12 PEDi digunakan sebagai kaunter fizikal PADU iaitu di Kampung Bawah Gunung (Baling), Belimbing Kanan (Padang Terap), Bukit Raya Dalam (Pendang), Serdang (Bandar Baharu), Kampung Gunung Hilir (Kota Setar), PPR Paya Nahu (Kuala Muda), Changlun (Kubang Pasu), PPR Kelang Lama (Kulim), Kuah (Langkawi), Pekan Sik (Sik), Yan Kechil (Yan) dan Bukit Payong (Pokok Sena).

Selain itu, pengemaskinian PADU juga boleh dilakukan di Ibu pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah di Wisma Persekutuan, Alor Setar; dan Pejabat Operasi jabatan itu di Langkawi dan Sungai Petani.

Bagi melakukan pendaftaran ke dalam sistem itu orang ramai diingatkan untuk membawa salinan kad pengenalan ketua isi rumah dan ahli isi rumah (termasuk yang berumur di bawah 18 tahun) dan maklumat akaun bank.

Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat ke dalam sistem PADU boleh dilakukan sehingga 31 Mac depan.

PADU merupakan pangkalan data utama kerajaan ke arah mewujudkan satu ekosistem pemberian bantuan yang lebih sistematik dan perancangan polisi yang lebih holistik.

Pengemaskinian PADU dapat mengelakkan orang ramai daripada keciciran untuk sebarang program bantuan atau subsidi bersasar dan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI