
KUALA LUMPUR, 20 Februari– Sebanyak 74 masjid dan surau di Pahang menerima sumbangan menerusi Program Ihya Ramadan Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026/1447H bagi memperkasa peranan institusi berkenaan dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
- 45 masjid dan surau kebenaran Jumaat di Parlimen Indera Mahkota serta 29 di Parlimen Kuantan menerima sumbangan.
- Setiap masjid diberi RM5,000 manakala setiap surau menerima RM3,000 untuk program Ramadan.
- Sumbangan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, bagi memastikan kelancaran program kariah.
Daripada jumlah itu, 45 masjid dan surau kebenaran Jumaat terletak di Parlimen Indera Mahkota manakala 29 lagi di Parlimen Kuantan.
Setiap masjid menerima peruntukan sebanyak RM5,000, sementara surau menerima RM3,000.
Sumbangan tersebut disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi memastikan kelancaran penganjuran program di peringkat kariah.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Datuk Seri Fauzi, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam menyalurkan peruntukan berkenaan.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan beliau menyalurkan peruntukan ini melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi menyantuni keperluan institusi masjid dan surau di kawasan ini.”
“Semoga sumbangan ini dapat melancarkan kelangsungan program yang telah dirancang sepanjang bulan Ramadan,” kata Ahmad Farhan dalam kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, beliau berharap agar sumbangan itu dapat memastikan segala program yang dirancang sepanjang Ramadan dapat dilaksanakan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada kariah dan kominiti setempat.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Al-Fadhil Ustaz Mohammad Khairuddin Abdul Aziz.