PUTRAJAYA, 7 Mei - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 bakal menyajikan hidangan tradisi ala desa dan suasana kampung.
Lebih 70,000 pengunjung dijangka hadir majlis yang bertempat di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, di sini esok.
Menurut Pengarah Pengurusan Pejabat Perdana Menteri, Mohd Sabri Seman persiapan kini lebih 90% lengkap dan kerja-kerja akhir giat dijalankan.
"Persiapan kita ini bermula awal Ramadan lagi, maklumlah bukan persiapan yang kecil banyak pihak yang melibatkan persiapan fizikal khemah, peralatan sistem bunyi, pengurusan sistem trafik aliran dan penyediaan makanan," katanya.
Beliau ditemui pada sesi taklimat sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri 2022 di sini.
(Mohd Sabri Seman)
Lazimnya majlis diadakan pada 1 Syawal namun tahun ini diraikan pada 7 Syawal bagi membolehkan orang ramai balik ke kampung beraya bersama keluarga.
200 petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memantau SOP pengunjung.
Sebanyak 20 khemah disediakan untuk kemudahan pengunjung termasuk kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Pengunjung diingatkan patuh SOP baharu serta berpakaian kemas dan sopan.
Perkhidmatan bas percuma disediakan dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit mulai 9 pagi di tiga buah lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizah Zainal Abidin dan Masjid Putra.