KUALA LUMPUR, 29 Mac- Enam lot kedai makan dan sebuah kedai perkakasan di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Chow Kit musnah dalam kebakaran petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, mereka menerima panggilan kecemasan pada 1.36 tengah hari sebelum enam jentera bersama 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hang Tuah dan Titiwangsa digegaskan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai perkakasan dan enam lot kedai makan yang berada di belakang kedai perkakasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata api berjaya dikawal kira-kira 2.50 petang namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, saksi Ramzana Ali, 39, yang juga pekerja kedai perkakasan itu berkata ketika kejadian dia sedang tidur di bahagian belakang bangunan yang terletak bersebelahan kedai yang terbakar itu.
"Saya terjaga selepas dengar bunyi bising dan apabila menyedari kejadian itu, saya segera hubungi majikan dan menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA