fb fb fb fb fb

7,658 kanak-kanak perlukan perlindungan tahun lalu - Nancy

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Seramai 7,658 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan sepanjang tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata seramai 3,957 kanak kanak direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Jelasnya, kes diabaikan ibu bapa atau penjaga paling tinggi iaitu 63 kes.

"Ia diikuti kes dicedera dan dianiaya secara seksual sebanyak 24 kes. Lain- lain kes termasuk dicedera dan dianiaya secara fizikal, emosi, diluar kawalan ibu bapa serta perlu diperiksa, disiasat atau dirawat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2 di sini.

Pihaknya proaktif melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak Kanak dengan menyasarkan lebih 300 program di peringkat sekolah di seluruh negara.

Ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak kanak sentiasa dipelihara serta hak sebagai kanak kanak dilindungi.

"Apa yang kita katakan 'save touch' atau sentuhan selamat dan tidak selamat, dan ini perlu dididik kepada anak-anak sebab banyak kes ini bukan hanya dilakukan oleh orang luar, tetapi dilakukan oleh keluarga sendiri.

"Ini menyukarkan kita bila berlaku kat rumah siapa nak bantu anak-anak ini untuk melaporkan, jadi sebab itu kita nak perkasakan anak-anak ini supaya mereka tahu mereka ada hak, macam mana nak melaporkan," katanya.

Program advokasi yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADk) itu juga menekankan talian kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 bagi membolehkan aduan dibuat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM