67 peniaga dikompaun guna alat timbang tidak ditentusahkan

Foto RTM

KANGAR, 14 Februari – Kompaun berjumlah RM13,400 dikeluarkan kepada 67 peniaga di Perlis, yang dikesan masih menggunakan alat timbang dan sukat tidak ditentusahkan sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kompaun RM13,400 dikeluarkan kepada 67 peniaga kerana guna alat timbang tidak ditentusahkan sepanjang tahun lalu.
  • 14 kes tambahan direkodkan bulan ini dengan kompaun RM3,100.
  • Pemeriksaan dipertingkat di kedai, pasaraya dan pasar untuk pastikan alat timbang ditentusahkan.
  • KPDN jamin bekalan barangan mencukupi dan nasihatkan pengguna elak pembelian panik.

Manakala, 14 kes lagi dikesan setakat bulan ini membabitkan kompaun bernilai RM3,100.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Rohaida Hassan berkata, kesalahan itu dikesan berlaku di pasar dan premis runcit seluruh negeri ini.

Namun, katanya secara keseluruhan pematuhan peniaga masih berada pada tahap baik.

“Kita memang meningkatkan pemeriksaan di kedai-kedai, pasaraya dan pasar. Melalui pemeriksaan itulah kita pantau, alat timbang diorang ni ditentusah atau tidak. Jadi yang mana tidak ditentusahkan kita kenakan kompaun dan kita minta diorang perbaiki dan kita akan menjalankan pemeriksaan semula,” katanya kepada media selepas sesi tinjauan mesra pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Kangar Jaya.

Menurutnya, lapan kompaun turut dikeluarkan kepada peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, setakat ini membabitkan nilai kompaun berjumlah RM3,300.

KPDN memberi jaminan, bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.

Rohaida menasihatkan pengguna tidak melakukan pembelian panik.