(FOTO POLIS JOHOR)
JOHOR BAHRU, 26 September- Seramai 66 orang ditahan di Johor menerusi Op Dadu Khas bagi membanteras kegiatan judi dalam talian dan loteri awam.
Ke semua mereka berusia 19 hingga 66 tahun terdiri daripada 55 lelaki dan 11 wanita itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu oleh Polis Kontinjen Johor.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, beberapa barangan turut dirampas pihaknya seperti 67 buah telefon bimbit, 23 buah mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM9,641.
"58 (ditahan) warga tempatan dan lapan warga asing. Pecahan jantina adalah 52 lelaki tempatan, tiga lelaki warga asing, (manakala) enam wanita tempatan dan lima wanita warga asing.
"(Sementara itu), sebanyak 56 premis telah diperiksa," katanya dalam kenyataan.
Ke semua premis yang terlibat sedang dalam proses untuk pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik daripada Pihak Berkuasa Tempatan serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kes disiasat mengikut seksyen 4(A)(a) dan 4(B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit bersalah boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.
Kamarul berkata, kejayaan operasi adalah hasil maklumat dan risikan polis, serta maklumat orang awam.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan perjudian dalam talian boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677.
(FOTO POLIS JOHOR)