
POKOK SENA, 17 Mac – 64 banduan atau prospek di Kedah dibebaskan bawah program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
- Program PBSL Ihsan MADANI bebaskan prospek sempena Hari Raya, memberi peluang sambut Syawal bersama keluarga.
- Sebahagian prospek ditempatkan semula; 15 diserahkan kepada majikan dan 15 ditempatkan bersama keluarga.
- Program menumpukan prospek hukuman kurang tiga tahun dan disokong 120 majikan dalam sektor perkhidmatan, pertanian, peladangan, pengilangan.
Daripada jumlah itu, 34 prospek dibebaskan pada sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, melibatkan prospek di Penjara Sg Petani dan Penjara Pokok Sena.
Pengarah Penjara Negeri, TKP Charin Promwichit Chem memaklumkan, 30 prospek lagi dibebaskan hari ini sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, 15 prospek dibebaskan diserahkan kepada majikan untuk pekerjaan, manakal 15 prospek lagi ditempatkan bersama keluarga mereka.
“Kebiasaannya pelepasan banduan secara lesen ini melibatkan prospek yang menjalani hukuman penjara yang singkat iaitu kurang 3 tahun.”
Program ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif Ihsan MADANI bertujuan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kedua kepada prospek yang telah menunjukkan perubahan positif.
“Program pembebasan banduan secara lesen Ihsan MADANI adalah program yang istimewa untuk memberi peluang kepada prospek terutamanya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Keutamaan diberikan kepada prospek beragama Islam untuk meraikan sambutan hari raya bersama keluarga,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara
Lesen PBSL Ihsan MADANI “Kepulangan Yang Dinanti” Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Penjara Pokok Sena, di sini.
Setakat ini, terdapat 120 majikan di Kedah menyokong program berkenaan termasuk dalam sektor perkhidmatan, pertanian, peladangan, dan pengilangan.
Sementara itu, beberapa prospek yang ditemui meluahkan rasa gembira kerana dapat bersama keluarga meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Alang (bukan nama sebenar) bersyukur kerana menjadi antara 30 insan terpilih yang diberi peluang kedua untuk memulakan hidup baharu.
Mat (bukan nama sebenar) pula mengucapkan terima kasih kepada pihak penjara kerana memberi peluang untuk prospek seperti mereka bebas lebih awal dan kembali ke pangkuan keluarga.
Manakala, Zara (bukan nama sebenar) melahirkan rasa gembira kerana diberi kesempatan untuk meraikan Syawal bersama-sama keluarga tercinta, serta diberi kesempatan untuk menjaga ibu bapanya.
Dia keluar dengan azam baharu untuk berniaga kuih bagi mencari pendapatan demi keluarga.