625 unit rumah terbengkalai di Balik Pulau dijangka siap hujung tahun

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo/ Foto RTM

GEORGE TOWN, 30 Januari – Sebanyak 625 unit kediaman yang terbengkalai selama tujuh tahun di Balik Pulau, dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama pemaju dan Lembaga Perumahan Negeri melaksanakan pemulihan projek terbengkalai.
  • Pembaikan melibatkan kerja struktur dan penggantian kabel akibat kecurian, dengan proses dokumentasi dan penilaian tapak sedang dijalankan.
  • Pembeli lega kerana projek RMKu diteruskan; inisiatif ini menyokong perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

Pemulihan itu melibatkan projek Pangsapuri Seri Bayu dan Pangsapuri Quinton.

Langkah berkenaan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Lembaga Perumahan Negeri bersama pemaju yang dilantik.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, kerajaan negeri komited memastikan baki kerja pembinaan disiapkan segera.

Kerja pembinaan dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan selepas proses penilaian tapak dan dokumentasi teknikal selesai.

“Projek ini mendapat perhatian serius Ketua Menteri dan kita berusaha sedaya upaya untuk memastikan rumah ini dapat diselamatkan serta diserahkan kepada pembeli. Banyak kerja pemulihan masih perlu dilakukan kerana berlaku kecurian kabel dan kerosakan struktur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Mah Sing Group dan Baker Tilly Malaysia berkenaan usaha pemulihan dua projek Rumah Mutiaraku (RMKu) yang sakit di sini, hari ini.

Kesemua pembeli telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) pada Oktober dan November 2017.

Pembeli yang hadir meluahkan rasa syukur dan lega kerana penantian lama mereka akhirnya membuahkan hasil.

Seorang pembeli, Mohd Danial Rasydan Razak berkata, beliau hampir putus harapan selepas projek itu terhenti sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya lalu kawasan ini setiap hari, tetapi tiada perkembangan. Hari ini saya lega kerana akhirnya ada penyelesaian,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Jameel Assan berkata, pembeli sentiasa berhubung melalui kumpulan WhatsApp untuk berkongsi maklumat dan sokongan.

“Kami terpaksa terus membayar pinjaman walaupun rumah belum siap. Hari ini kami rasa lebih yakin kerana projek ini kembali bergerak secara sah,” katanya.

Program RMKu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP).