600 pelajar Parlimen Bandar Tun Razak terima bantuan persekolahan

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 10 Januari Seramai 600 pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan persekolahan bernilai RM150 seorang, menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu yang bermula 12 Januari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baucar RM150 disalurkan melalui Pasaraya Hari-Hari bagi pembelian keperluan persekolahan.
  • Inisiatif bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa di kawasan bandar dengan kos sara hidup mencabar.
  • Penerima berasal dari enam zon termasuk perumahan awam, flat dan komuniti memerlukan sokongan.
  • Seruan agar ibu bapa, guru dan komuniti bekerjasama untuk sokong perkembangan akademik dan sahsiah anak.

Bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk baucar pembelian barangan persekolahan di Pasaraya Hari-Hari, sekali gus memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dan penjaga untuk mendapatkan keperluan anak-anak mengikut keutamaan masing-masing.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program bantuan persekolahan itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya di kawasan bandar yang berdepan kos sara hidup semakin mencabar.

“Walaupun nilainya tidak besar, bantuan bersasar seperti ini amat diperlukan bagi memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan tidak merasa kekurangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.

Penerima bantuan terdiri daripada pelajar dari enam zon di Parlimen Bandar Tun Razak, termasuk kawasan perumahan awam, flat dan komuniti yang dikenal pasti memerlukan sokongan menjelang pembukaan sekolah.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam perkembangan anak-anak, bukan sahaja dari segi akademik, malah melibatkan pembentukan sahsiah dan pergaulan.

“Dorongan dan perhatian ibu bapa sangat penting. Ambil tahu rakan sebaya anak-anak kerana pengaruh rakan amat kuat pada usia muda,” jelasnya.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk guru, jiran serta komuniti setempat agar pendidikan terus menjadi tanggungjawab bersama, selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan ihsan dan kesejahteraan rakyat.

Program sumbangan persekolahan itu mencerminkan komitmen berterusan Amanah Ikhtiar Malaysia dalam menyokong pendidikan sebagai usaha memutuskan rantaian kemiskinan serta membina masa depan anak-anak bandar yang lebih terjamin.