TAMBUNAN, 3 Jun - Pengembalian 40 peratus hasil bersih negeri mampu merancakkan sektor pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar di Sabah.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah, Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Taut berkata, komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu merealisasikan tuntutan itu merupakan berita gembira buat rakyat Sabah.
Katanya, tuntutan itu telah lama menjadi perjuangan para pemimpin dan rakyat negeri Sabah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kami (rakyat Sabah) sudah menanti selama 60 tahun dan berharap perdana menteri dapat merealisasikan janji-janji MA63 ini untuk kepentingan rakyat Sabah.
"Termasuklah yang termaktub dalam MA63 iaitu 40 peratus daripada hasil yang dikutip dari negeri ini haruslah dikembalikan kepada Sabah," katanya.
Victor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tondulu.
Katanya dengan hasil tuntutan itu dapat menambah baik selain memberikan prasarana asas seperti bekalan elektrik, air, talian komunikasi serta jalan raya buat rakyat Sabah.
Perdana Menteri dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini mengulangi komitmennya tidak mahu menangguhkan lagi perkara yang disepakati antara kerajaan Persekutuan dan Sabah seperti terkandung dalam MA63.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 30 Mei lalu.
Pada Julai lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memutuskan bahawa penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih atau geran khas Sabah dijangka dicapai dalam tempoh setahun.